Saturday, March 17, 2012

Peringatan Sebelum Melangkah Ke Dunia Baru



"Menyesal aku kahwin awal'" luahan insan yang berkahwin awal.

"Lebih seronok rupanya hidup bujang sendiri" luahan insan yang telah puluhan ribu dihabiskan untuk majlis perkahwinan.

"Jadi andartu pun takpe, hati tak sakit" luahan insan yang berkahwin di usia lewat.

"Kalau aku tau, aku takkan pilih suami orang" luahan isteri kedua, ketiga.

"Sepatutnya aku kahwin dengan orang yang lebih matang" luahan mereka yang kahwin dengan pasangan sebaya atau lebih muda.

" Sepatutnya aku kahwin dengan yang sebaya, yang lebih memahami " luahan yang punya pasangan jauh berbeza jarak usia.

"Betul cakap mak aku dulu, inilah akibat tak dapat restu mak ayah" luahan insan yang perkahwinan ditentang ibu bapa.

"Aku terburu-buru buat keputusan nak kahwin" padahal telah bercinta empat tahun.

Pada yang berhasrat atau telah bernikah, ini adalah peringatan penting:

Ujian, konflik, goncangan, dugaan, pergaduhan, berkelahi, merajuk, tersinggung, terguris, marah, sedih, kecewa, sakit hati, bosan, menyampah, serabut, darah menyirap...

Rasa nak hantuk kepala ke dinding, rasa nak kelar tangan sendiri, rasa nak baling pinggan ke dinding, rasa nak bunuh diri...

Salah satu atau semua ini adalah hampir pasti kalian akan lalui dalam pernikahan yang kalian dambakan..!

Tak kisah lah dengan siapa atau macam mana situasi nya - konflik, konflik dan konflik. Gaduh, gaduh dan gaduh - di dalam alam perkahwinan. Bezanya - konflik banyak atau konflik sedikit. Bergaduh sekejap atau bergaduh lama.

Kahwin awal. Kahwin Lewat. Mak ayah restu. Peminat restu. Mak ayah tak restu. Mertua tak restu. Majlis kahwin 'grand'. Majlis kahwin 'simple'. Kahwin suami orang. Kahwin orang bujang. Kahwin orang dekat. Kahwin orang jauh.

Kahwin dengan artis. Kahwin dengan ustaz ustazah. Kahwin dengan kaki bola. Kahwin dengan kaki masjid. Kahwin dengan jutawan. Kahwin dengan drebar teksi. Kahwin tukang cuci. Kahwin dengan usahawan kelapa bali.

Kahwin di Malaysia. Kahwin kat oversea. Kahwin di sempadan. Nikah di masjid. Nikah di rumah. Nikah di bawah pokok. Kahwin sebaya. Kahwin lebih muda. Kahwin lebih berusia. Kenal lama. Kenal sekejap. Bercinta lama. Bercinta sekejap. Mak ayah pilihkan. Sendiri pilih...... 



Semuanya adalah pasti akan berkonflik!

Dulu waktu bersemangat nikah, hanya fikir nak selesaikan masalah rindu sayang. Masalah tak nak terlibat zina besar dan zina kecil. Masalah kesepian dan kebosanan. Tak tahan pertanyaan dan sindiran orang sekeliling. Peminat dah bising..

Tak bersedia untuk menghadapi siri-siri konflik dengan suami.

Tak bersedia menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama mertua ipar duai.

Tidak belajar proaktif membangun ekonomi rumahtangga.

Tidak belajar mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Tak belajar betapa besarnya hak-hak pasangan.

Tak belajar habit-habit yang sihat dan penting dalam sebuah perkahwinan.

Tak sangka hubungan intim akan bermasalah.

Tak belajar psikologi dan perbezaan cara hidup dan cara fikir pasangan.

Tak menyiapkan bekal taqwa yang menjadi asas kebahagian hakiki hidup berpasangan.

Lalu... apakah kesannya pada cinta dan harapan yang ada tika 'aku terima nikahnya'?

Ya, bernikah adalah tempat menyalurkan keinginan nafsu dan perasaan yang fitrah. Boleh menjadi salah satu solusi mengelakkan perzinaan. Pernikahan boleh menjadi sumber hiburan dan ketenangan. Kehadiran teman hidup mampu meleraikan kesunyian dan kesepian.

Namun harus kita perhatikan juga perkara-perkara penting untuk keberlangsungan sebuah rumahtangga. Fahami dan bersungguh mempraktikkannya bila rumahtangga telah dibina.

Jika tidak matang dan tidak menyedari pentingnya ilmu tentang alam perkahwinan, perkahwinan kita mudah usai setelah beberapa siri hubungan seks.

Jua tanpa iman dan ketaqwaan, mudah saja perkahwinan terbubar kerana merasakan pernikahan sebenarnya tak memberi kegembiraan, namun menyerabutkan dan menyakitkan perasaan...

Pada yang sedang bersemangat untuk bernikah, mungkin apa yang dikongsikan di sini telah kalian faham dan berusaha hadam.. tapi percayalah jika kalian bernikah, setelah musim honeymoon berlalu - baru benar-benar tahu tinggi rendahnya teori dan realiti.

[ Malah jika tak bersedia ilmu, kematangan, kewangan etc, keindahan musim honeymoon yang diharapkan pun tak akan berlaku...]

Pada yang merasa hampir putus asa untuk menikah, baguslah jika kalian terus tabah.

Hadapilah dengan bijak dan berlapis kesabaran dalam mendapatkan sokongan ibu ayah. Belajar menenangkan diri dan bersungguh mencari strategi dalam cabaran kewangan yang tak cukup untuk buat majlis kahwin, tak cukup duit untuk meyakinkan keluarga si perempuan.

Pada yang mudah menyerah kalah, dengan ranjau berliku proses untuk bernikah dan marah-marah tak dipermudahkan ibu ayah untuk bernikah... ayuh kita muhasabah.

Mungkin ada bagusnya kita tak dapat bernikah lagi, kerana selesai satu masalah hati, ada sembilan lagi cabaran alam pernikahan.. mampukah kita hadapi jika ujian sebelum nikah kita sebegitu lemah dan tak tentu arah?

Pada yang telah bernikah, teruslah mengenali dan mendekatkan diri pada ALLAH. Ini kunci pertama menyejukkan keadaan, membahagiakan perasaan.

Kedua, akhlak baik - lapang dada, memaafkan, memberi maaf, senyum, menahan kemarahan, menggembirakan,  dan seribu satu lagi karakter mulia perlu dijadikan perhiasan diri. Seterusnya, tambahkan ilmu dan iman - moga mampu beramal untuk kebaikan, samaada di dalam atau di luar rumahtangga.

Sesungguh, cinta benci dalam alam pernikahan, jua duka lara, suka gembira... adalah rempah ratus kehidupan. Sama-samalah kita mengingatkan diri - bahawa akhirnya kita akan kembali kepada tuhan...

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ


“ (Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS. Al Mulk: 2)


No comments:

Post a Comment