Monday, June 11, 2012

Preview Album-Zikir Terapi Selawat Imam Muda Najdi


Assalamualaikum semua. 

Ekhem! Lihat apa yang saya ada :D 


Sebelum ni, saya dah pernah post pasal Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun. Okey, sekarang ni album Zikir Terapi Selawat Imam Muda Najdi pulak ya :) Beli ni bukan sebab Imam Muda Najdi ini sebutan ramai ke apa ke, tapi sebab memang saya suka beli album zikir terapi. Dari dulu lagi sudah mendapatkan album selawat Hafiz Hamidun.Ala, yang lagu-lagu background dia based on piano semua tu. Serius menenangkan!Seusai menjawab final exam subjek Creative Thinking and Problem Solving.Diri ini seolah-olah ditarik ke Tesco Nilai untuk mencari album ini.Sebelumnya hati ini selalu memainkan preview mengenai album ini,mungkin kerana ini peperiksaan bakal menjelma.Haruslah ketakutan ini dihilangkan melalui selawat-selawat relaksasi.

Sehingga diri menapakkan kaki ke ke kedai tersebut,saya bersyukur kerana album ini hanya satu sahaja unit yang tinggal!Alhamdulillah.Rezeki saya!.kepada yang lain-lain,jangan lupa dapatkan album ini.Berbaloi..Relaks pun dapat.Pahala pun apatah lagi.Jom3x! 



Antara track yang terdapat dalam album ialah:

1. Tola'al Badru 'Alaina
2. Allahumma Solli 'Ala Muhammad
3. Solla 'Alaikallah
4. Salamun 'Alaih
5. Solatullah
6. Sollallah 'Ala Muhammad
7. Ya Habibi
8. Selawat dan Salam
9. Ya Nabi Salam
10. Salamun 'Alaih


Boleh layan preview album dulu okey. Semoga anda berpuas hati dan terus beli :)
Track kegemaran saya ialah Tola'al Badru 'Alaina & Allahumma Solli 'Ala Muhammad. Best! Sungguh menenangkan jiwa yang gusar. Tambah-tambah dengar selawat, mulut pun turut berselawat mengingati kekasih yang kita sangat rindu, Rasulullah :')









Wednesday, May 23, 2012

Sahabat Sejati ( UNIC )


Sahabat Sejati

Ku biar kalam berbicara
Menghurai maksudnya di jiwa
Agar mudah ku mengerti
Segala yang terjadi
Sudah suratan Ilahi

Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini

Aku telah pun sedaya
Tak melukai hatimu
Mungkin sudah suratan hidupku
Kasih yang lama terjalin
Berderai bagaikan kaca
Oh teman, maafkanlah diriku

Oh Tuhan
Tunjukkan ku jalan
Untuk menempuhi dugaan ini
Teman, maafkan jika ku melukaimu
Moga ikatan ukhwah yang dibina
Ke akhirnya

Aku tidak kan berdaya
Menahan hibanya rasa
Kau pergi meninggalkan diriku
Redhalah apa terjadi
Usahlah kau kesali
Mungkin ada rahmat yang tersembunyi

·        Ujian yang diterima kadang-kadang mematangkan hidup kita.Segala apa yang berlaku membuatkan diri kita semakin kuat dan kadang kala boleh jadi jatuh semula.Kepada sahabat,maafkanlah ana kerana mungkin ana tidak sehabis baik,permergian kamu untuk mematangkan diri,menguatkan fikrah,mendalami agama dan menfaqihkan diri.Ana meredhai permergianmu.Jaga diri,jaga iman,jaga kesihatan (tagline kamu).Terima kasih kerana mewarnakan hidup ini.Semoga jodoh dan rezeki kita masih utuh.Ameen ya rabb.


 


Monday, April 23, 2012

REVIEW ALBUM: Du’a – Sahaja Aku MencintaiMu


DU’A. Pertama kali menonton Videoklipnya di Youtube dengan lagu Sahaja Aku MencintaiMu, hati terus tertarik dengan keupayaan kumpulan ini. Lagu easy listening, menarik dan membuatkan saya ternanti album kumpulan ini. Dua diantara ahli kumpulan ini merupakan anak kepada penasyid Ustaz Amaluddin
Nah, akhirnya album sulung kumpulan ini yang bertajuk Sahaja Aku Menyintai-Mu telah berada di tangan saya. Teruja juga mahu mendengar apa yang terhasil daripada kumpulan ini. Jadi kita go through lagu-lagunya ya.

Track 1-Sahaja Aku MencintaiMu. Lagu ini dijadikan single pertama mereka. Kekuatan lagu ini ialah muzik pop ringan yang diadun dengan perkusi, serta dengan melodi yang kuat melatari liriknya. Featuring Ustaz Amal dalam lagu ini memang mantap dengan alunan zikirnya.

Track 2-Doa Dan Tasbih. Track yang mengandungi untaiann doa dan tasbih. Saya suka mendengar lagu sebegini apatah lagi bila ditambah dengan muzik laid back yang tak terlalu berat beserta akustik gitar. Tenang sahaja mendengarnya. Oh ya, Ustaz Amal juga menyumbangkan suara dalam track ini.

Track 3-Rasul Terakhir. Lagu pop biasa, tetap dengan pop ringan. Cuma susunan harmoni dalam lagu ini tampak lebih padat dan mula menampakan identiti mereka. Saya suka plucking gitar pada outro lagu ini.

Track 4: Cermin Diri. Intronya sahaja sudah kedengaran semacam mahu menguji kekuatan sebenar vokal lagu ini. Ustaz Amal ada mengungkap zikir pada track ini. Kedengar kuat juga lenggok style arab disana-sini sepanjang lagu ini.

Track 5: Tiada Selain Dia. Mak Aihh, fast beat betul lagu ni. Ada feel pop rock yang kuat groovenya. Seolah nak beri tenaga selepas empat lagu yang terdahulu yang laid back. Benar-benar tight dan in your face.

Track 6: Lagu Untuk Ummi. Lagu ini betul-betul menguji kekuatan sebenar vokal mereka, dengan turun naik nada, namun bereka berjaya melakukannya. Susunan harmoni dibelakang juga nampak kemas dan mencantikkan lagi lagu ini.

Bakat baru dalam industri nasyid yang seharusnya diberi perhatian. Dengan lagu-lagu yang bersifat easy listening. Tidak mustahil satu hari nanti mereka bakal menjadi pelabis abang-abang senior mereka. Siapa tahu?

Track 8 dan 9 pula merupakan instrumental bagi lagu Sahaja aku mencintai-Mu dan Lagu untuk Ummi.Mereka seakan bijak meletakkan instrumental lagu favourite mereka kerana dalam diam-diam mendengar lagu ini,bibir turut menyanyi sama..:)

Friday, March 23, 2012

Menjadi Diriku - Edcoustic

Tak seperti bintang di langit
Tak seperti indah pelangi
Karena diriku bukanlah mereka
Ku apa adanya
Dan wajahku memang begini
Sikapku jelas tak sempurna
Ku akui ku bukanlah mereka
Ku apa adanya
Menjadi diriku
Dengan segala kekurangan
Menjadi diriku
Atas kelebihanku.......
Terimalah aku
Seperti apa adanya
Aku hanya insan biasa
Ku pun tak sempurna
Tetap ku bangga
Atas apa yang ku punya
Setiap waktu ku nikmati
Anugerah hidup yang ku miliki
Salah satu lirik lagu Edcoustic yang sangat memberi sumber inspirasi saya.!


Saturday, March 17, 2012

Peringatan Sebelum Melangkah Ke Dunia Baru



"Menyesal aku kahwin awal'" luahan insan yang berkahwin awal.

"Lebih seronok rupanya hidup bujang sendiri" luahan insan yang telah puluhan ribu dihabiskan untuk majlis perkahwinan.

"Jadi andartu pun takpe, hati tak sakit" luahan insan yang berkahwin di usia lewat.

"Kalau aku tau, aku takkan pilih suami orang" luahan isteri kedua, ketiga.

"Sepatutnya aku kahwin dengan orang yang lebih matang" luahan mereka yang kahwin dengan pasangan sebaya atau lebih muda.

" Sepatutnya aku kahwin dengan yang sebaya, yang lebih memahami " luahan yang punya pasangan jauh berbeza jarak usia.

"Betul cakap mak aku dulu, inilah akibat tak dapat restu mak ayah" luahan insan yang perkahwinan ditentang ibu bapa.

"Aku terburu-buru buat keputusan nak kahwin" padahal telah bercinta empat tahun.

Pada yang berhasrat atau telah bernikah, ini adalah peringatan penting:

Ujian, konflik, goncangan, dugaan, pergaduhan, berkelahi, merajuk, tersinggung, terguris, marah, sedih, kecewa, sakit hati, bosan, menyampah, serabut, darah menyirap...

Rasa nak hantuk kepala ke dinding, rasa nak kelar tangan sendiri, rasa nak baling pinggan ke dinding, rasa nak bunuh diri...

Salah satu atau semua ini adalah hampir pasti kalian akan lalui dalam pernikahan yang kalian dambakan..!

Tak kisah lah dengan siapa atau macam mana situasi nya - konflik, konflik dan konflik. Gaduh, gaduh dan gaduh - di dalam alam perkahwinan. Bezanya - konflik banyak atau konflik sedikit. Bergaduh sekejap atau bergaduh lama.

Kahwin awal. Kahwin Lewat. Mak ayah restu. Peminat restu. Mak ayah tak restu. Mertua tak restu. Majlis kahwin 'grand'. Majlis kahwin 'simple'. Kahwin suami orang. Kahwin orang bujang. Kahwin orang dekat. Kahwin orang jauh.

Kahwin dengan artis. Kahwin dengan ustaz ustazah. Kahwin dengan kaki bola. Kahwin dengan kaki masjid. Kahwin dengan jutawan. Kahwin dengan drebar teksi. Kahwin tukang cuci. Kahwin dengan usahawan kelapa bali.

Kahwin di Malaysia. Kahwin kat oversea. Kahwin di sempadan. Nikah di masjid. Nikah di rumah. Nikah di bawah pokok. Kahwin sebaya. Kahwin lebih muda. Kahwin lebih berusia. Kenal lama. Kenal sekejap. Bercinta lama. Bercinta sekejap. Mak ayah pilihkan. Sendiri pilih...... 



Semuanya adalah pasti akan berkonflik!

Dulu waktu bersemangat nikah, hanya fikir nak selesaikan masalah rindu sayang. Masalah tak nak terlibat zina besar dan zina kecil. Masalah kesepian dan kebosanan. Tak tahan pertanyaan dan sindiran orang sekeliling. Peminat dah bising..

Tak bersedia untuk menghadapi siri-siri konflik dengan suami.

Tak bersedia menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama mertua ipar duai.

Tidak belajar proaktif membangun ekonomi rumahtangga.

Tidak belajar mengurus rumahtangga dan anak-anak.

Tak belajar betapa besarnya hak-hak pasangan.

Tak belajar habit-habit yang sihat dan penting dalam sebuah perkahwinan.

Tak sangka hubungan intim akan bermasalah.

Tak belajar psikologi dan perbezaan cara hidup dan cara fikir pasangan.

Tak menyiapkan bekal taqwa yang menjadi asas kebahagian hakiki hidup berpasangan.

Lalu... apakah kesannya pada cinta dan harapan yang ada tika 'aku terima nikahnya'?

Ya, bernikah adalah tempat menyalurkan keinginan nafsu dan perasaan yang fitrah. Boleh menjadi salah satu solusi mengelakkan perzinaan. Pernikahan boleh menjadi sumber hiburan dan ketenangan. Kehadiran teman hidup mampu meleraikan kesunyian dan kesepian.

Namun harus kita perhatikan juga perkara-perkara penting untuk keberlangsungan sebuah rumahtangga. Fahami dan bersungguh mempraktikkannya bila rumahtangga telah dibina.

Jika tidak matang dan tidak menyedari pentingnya ilmu tentang alam perkahwinan, perkahwinan kita mudah usai setelah beberapa siri hubungan seks.

Jua tanpa iman dan ketaqwaan, mudah saja perkahwinan terbubar kerana merasakan pernikahan sebenarnya tak memberi kegembiraan, namun menyerabutkan dan menyakitkan perasaan...

Pada yang sedang bersemangat untuk bernikah, mungkin apa yang dikongsikan di sini telah kalian faham dan berusaha hadam.. tapi percayalah jika kalian bernikah, setelah musim honeymoon berlalu - baru benar-benar tahu tinggi rendahnya teori dan realiti.

[ Malah jika tak bersedia ilmu, kematangan, kewangan etc, keindahan musim honeymoon yang diharapkan pun tak akan berlaku...]

Pada yang merasa hampir putus asa untuk menikah, baguslah jika kalian terus tabah.

Hadapilah dengan bijak dan berlapis kesabaran dalam mendapatkan sokongan ibu ayah. Belajar menenangkan diri dan bersungguh mencari strategi dalam cabaran kewangan yang tak cukup untuk buat majlis kahwin, tak cukup duit untuk meyakinkan keluarga si perempuan.

Pada yang mudah menyerah kalah, dengan ranjau berliku proses untuk bernikah dan marah-marah tak dipermudahkan ibu ayah untuk bernikah... ayuh kita muhasabah.

Mungkin ada bagusnya kita tak dapat bernikah lagi, kerana selesai satu masalah hati, ada sembilan lagi cabaran alam pernikahan.. mampukah kita hadapi jika ujian sebelum nikah kita sebegitu lemah dan tak tentu arah?

Pada yang telah bernikah, teruslah mengenali dan mendekatkan diri pada ALLAH. Ini kunci pertama menyejukkan keadaan, membahagiakan perasaan.

Kedua, akhlak baik - lapang dada, memaafkan, memberi maaf, senyum, menahan kemarahan, menggembirakan,  dan seribu satu lagi karakter mulia perlu dijadikan perhiasan diri. Seterusnya, tambahkan ilmu dan iman - moga mampu beramal untuk kebaikan, samaada di dalam atau di luar rumahtangga.

Sesungguh, cinta benci dalam alam pernikahan, jua duka lara, suka gembira... adalah rempah ratus kehidupan. Sama-samalah kita mengingatkan diri - bahawa akhirnya kita akan kembali kepada tuhan...

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ


“ (Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS. Al Mulk: 2)


Wednesday, March 14, 2012

BEDUK DIKETUK - PAHROL MOHD JUOI



Apabila beduk diketuk, tentulah ada yang rasa terkejut, tak senang malah ada kalanya 'bingit', namun sebaik menyedari untuk apa beduk itu diketuk, kita akan mula memberi perhatian, mendengarnya dengan teliti dan bertindak selaras dengan mesej yang dibawanya. Suara peringatan ada kalanya tidak perlu nyaring, namun cukup sekadar dapat dapat didengar oleh telinga dan hati. Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan.

Uniknya buku ini, ia boleh dijadikan pengukuhan pada pandangan yang sedia benar atau satu muhasabah kepada pandangan yang kurang tepat. Kisah-kisah yang dipaparkan ada kalanya lucu, sinis, mencuit dan memujuk hati pembaca. Subjek yang diketengahkan tidak bersifat personal tetapi lebih menjurus kepada permasalahan umum dan kepentingan bersama. Walaupun dialog-dialog di dalamnya memaparkan kisah-kisah peribadi tetapi penulis berjaya mengangkat persoalan dan gagasan yang tersirat untuk dirasai semua.

Menerusi buku ini, penulis telah memberi kritikan, teguran dan bujukan terhadap masyarakat agar benar-benar komited untuk menegakkan ajaran Islam. Dialog-dialog bersahaja tetapi sarat dengan makna telah digarab untuk menjawab kekeliruan masyarakat tentang kefahaman dan amalan Islam masa kini. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ada antara kisah-kisah yang ditulisnya itu 'terkena batang hidung' kita sendiri. Namun semua itu telah disuntik secara lemah lembut melalui rautan kata-kata dan ayat yang lucu dan simple. Hingga itu, kita tergerak merubah pandangan tanpa paksaan, tekanan apatah lagi kutukan.

Nilai tambah dalam buku ini adalah ilustrasi yang penuh makna. Ilustrasi mampu mengangkat mesej berbanding ratusan malah ribuan kata-kata. Pastinya pembaca akan teruja oleh usikan nakal namun penuh makna daripada pelukis ini. Dengan ini otak kanan (ilustrasi) dan kiri (kata-kata) para pembaca akan diaktifkan secara optimum bagi memantapkan lagi kefahaman dan penghayatan.

Pahrol Mohamad Juoi adalah seorang penulis yang sudah punya tapak dan jejak sendiri dalam dunia penulisan Islam terutamanya di kalangan pelajar di IPT, warga kerja dalam organisasi kerajaan dan swasta, peminat blog bercorak Islam dan juga pembaca majalah-majalah Islam khususnya Majalah Solusi. Buku-buku beliau seperti Tentang Cinta, Dilema Melayu Islam Kurang Fikir Atau Kurang Zikir, Nota Hati Seorang Lelaki dan Mukmin Profesional telah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat.

Buku-buku tulisan penulis ini memang menjadi koleksi wajib rak buku saya. Saya sukakan cara berfikir di luar kotak yang terdapat dalam penulisan beliau. Pandangan yang bernas, tajam dan berjaya menjentik minda, akhirnya mencetuskan idea yang sangat baik. Penulis sentiasa berfikiran positif dalam menanggapi setiap peristiwa yang berlaku disekeliling beliau. Pada pendapat saya buku ini sangat baik kerana selain dapat menyedarkan saya, ianya juga berfungsi sebagai pengecas minda dengan sudut pandang yang segar, unik dan diluar kotak pemikiran biasa.