Wednesday, March 14, 2012

BEDUK DIKETUK - PAHROL MOHD JUOI



Apabila beduk diketuk, tentulah ada yang rasa terkejut, tak senang malah ada kalanya 'bingit', namun sebaik menyedari untuk apa beduk itu diketuk, kita akan mula memberi perhatian, mendengarnya dengan teliti dan bertindak selaras dengan mesej yang dibawanya. Suara peringatan ada kalanya tidak perlu nyaring, namun cukup sekadar dapat dapat didengar oleh telinga dan hati. Orang yang bijaksana akan lebih terkesan oleh bisikan berbanding jeritan.

Uniknya buku ini, ia boleh dijadikan pengukuhan pada pandangan yang sedia benar atau satu muhasabah kepada pandangan yang kurang tepat. Kisah-kisah yang dipaparkan ada kalanya lucu, sinis, mencuit dan memujuk hati pembaca. Subjek yang diketengahkan tidak bersifat personal tetapi lebih menjurus kepada permasalahan umum dan kepentingan bersama. Walaupun dialog-dialog di dalamnya memaparkan kisah-kisah peribadi tetapi penulis berjaya mengangkat persoalan dan gagasan yang tersirat untuk dirasai semua.

Menerusi buku ini, penulis telah memberi kritikan, teguran dan bujukan terhadap masyarakat agar benar-benar komited untuk menegakkan ajaran Islam. Dialog-dialog bersahaja tetapi sarat dengan makna telah digarab untuk menjawab kekeliruan masyarakat tentang kefahaman dan amalan Islam masa kini. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ada antara kisah-kisah yang ditulisnya itu 'terkena batang hidung' kita sendiri. Namun semua itu telah disuntik secara lemah lembut melalui rautan kata-kata dan ayat yang lucu dan simple. Hingga itu, kita tergerak merubah pandangan tanpa paksaan, tekanan apatah lagi kutukan.

Nilai tambah dalam buku ini adalah ilustrasi yang penuh makna. Ilustrasi mampu mengangkat mesej berbanding ratusan malah ribuan kata-kata. Pastinya pembaca akan teruja oleh usikan nakal namun penuh makna daripada pelukis ini. Dengan ini otak kanan (ilustrasi) dan kiri (kata-kata) para pembaca akan diaktifkan secara optimum bagi memantapkan lagi kefahaman dan penghayatan.

Pahrol Mohamad Juoi adalah seorang penulis yang sudah punya tapak dan jejak sendiri dalam dunia penulisan Islam terutamanya di kalangan pelajar di IPT, warga kerja dalam organisasi kerajaan dan swasta, peminat blog bercorak Islam dan juga pembaca majalah-majalah Islam khususnya Majalah Solusi. Buku-buku beliau seperti Tentang Cinta, Dilema Melayu Islam Kurang Fikir Atau Kurang Zikir, Nota Hati Seorang Lelaki dan Mukmin Profesional telah mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat.

Buku-buku tulisan penulis ini memang menjadi koleksi wajib rak buku saya. Saya sukakan cara berfikir di luar kotak yang terdapat dalam penulisan beliau. Pandangan yang bernas, tajam dan berjaya menjentik minda, akhirnya mencetuskan idea yang sangat baik. Penulis sentiasa berfikiran positif dalam menanggapi setiap peristiwa yang berlaku disekeliling beliau. Pada pendapat saya buku ini sangat baik kerana selain dapat menyedarkan saya, ianya juga berfungsi sebagai pengecas minda dengan sudut pandang yang segar, unik dan diluar kotak pemikiran biasa.


No comments:

Post a Comment